Sunday, December 27, 2009

Nissan Murano - Garang & mewah




Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

POPULARITI model kenderaan sport utiliti (SUV) Nissan Murano tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ia antara kenderaan mewah, garang dan bergaya.


Peluang memandu uji model SUV premium versi 2009 diimport Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membolehkan penulis mencungkil rahsia di sebalik namanya berkenaan.

Dengan sistem 'Smart Entry', penulis hanya perlu menyimpan kunci dalam kocek dan menyentuh pembuka pintu tanpa perlu menekan butang untuk mematikan penggera.

Menerjah ke ruang dalamannya, pelbagai butang kawalan yang memenuhi papan pemukanya sedikit mengellirukan.

Namun, kejuruteraan tinggi Nissan menjadikan ia mudah dikawal dengan hanya satu sentuhan.

Ia dihias kulit gelap selain papan meter kelajuan besar manakala sistem kawalan audio dan unit hawa dingin sedikit terkeluar ke hadapan menjadikan ia unik.

Kerusi penumpang belakang boleh diturunkan memberi kelegaan terutama untuk perjalanan jauh. Jika mahu ruang lebih luas, kerusi barisan kedua juga boleh diturunkan.

Sistem audio Bose memang menarik dengan 11 pembesar suara termasuk satu subwoofer di bahagian tayar simpanan yang menghasilkan bunyi cukup bertenaga.

Dua bumbung suria menghiasi siling kabin di mana kedua-duanya mempunyai tirai untuk dibuka sementara yang di depan boleh dibuka terus.

Ciri luaran Murano kekal garang dengan gril hadapan krom lebih lebar bersama perumah lampu hadapan.

Tiga perumah lampu projektor memuatkan dua unit berkembar sistem Bi-Xenon, satu untuk lampu meletak kenderaan dan lampu belakang dengan mentol LED.

Rim aloi 18 inci dengan enam bilah menjadikannya lebih bergaya, moden dan seksi.

Model ini didatangkan dengan enjin VQ35DE, sama untuk model sport Nissan 350Z, antara enjin terbaik di dunia.

Tidak hairanlah jentera seberat 2,369 kg ini mampu memecut sehingga melebihi 200 km/j di lebuh raya.

Deruman enjinnya sahaja cukup mengujakan dan dengan susunan V6 dan sesaran 3,498cc, Murano menawarkan kuasa maksimum sehingga 256hp.

Sistem transmisi Xtronic CVT enam kelajuan menjanjikan penjimatan minyak sebanyak 9.3km/ liter, satu angka sukar dicapai mana-mana model SUV berenjin petrol.

Sistem All Mode 4X4i memberikan cengkaman kepada keempat-empat roda dan 50 peratus tenaga boleh disalurkan ke roda belakang dengan pantas.

Ketika memecut Murano di kelajuan tinggi, ia nyata hebat dan penulis terlupa ia kenderaan model Jepun.

Selekoh boleh diambil sama seperti memandu sebuah kereta sedan. Berharga RM330,000 atas jalan termasuk insurans, ia adalah SUV mewah tetapi dijana enjin sebuah kereta sport terbaik dalam kelasnya.

SPESIFIKASI

NISSAN MURANO

Enjin: VQ35DE DOHC 24 injap V6 3,498cc

Kuasa maksimum: 256hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 336Nm pada 4,400rpm

Transmisi: Xtronic CVT enam kelajuan dengan All Mode 4x4i

Ciri keselamatan: Beg udara depan, sisi dan tirai, Vehicle Dynamic Control (VDC), ABS, EBD, BA dan sebagainya

Harga: RM330,000 atas termasuk insurans

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 235/60 R18 107W

Monday, December 14, 2009

Gaya maskulin S40 2.0L




PENGENALAN model terbaru Volvo, S40 2.0L memang kena pada masanya kerana jenama itu mula diminati ramai disebabkan teknologi dan reka bentuknya yang unik.

Peluang memandu uji model itu, baru-baru ini membuktikan Volvo Car (M) Sdn Bhd serius menawan hati golongan eksekutif muda yang mahukan kelainan.

Model S40 2.0L tidak jauh beza dengan versi 2.4L, tetapi beberapa pembaharuan teknologi menyaksikan model itu hebat.

Lampu hadapan teknologi Dual Xenon memanjang ke gril hadapan berpalang menjadikan ia tampak garang.

Malah, bagi unit pandu uji ini, warna putih ais memberikan impak tersendiri susuk tubuhnya yang tegap.

Gril hadapan berpalang sedikit ke hadapan daripada perumah lampu utama dengan logo Volvo lebih besar.

Garis lentur aerodinamik pada sisi S40 tampak lebih bergaya berbanding model lain.

Rim bersaiz 16 inci 'Cordelia' bersama kit penuh termasuk spoiler belakang menjadikan S40 lebih sporty dan maskulin.

Ciri sisi bersama lampu isyarat membelok dan indikator sistem titik buta atau Blind Spot Information System (BLIS) adalah ciri keselamatan terbaru ditawarkan model ini.

Hanya tarik pembuka pintu, S40 2.0L sedia dipandu kerana sistem 'keyless entry' memudahkan pemandu untuk masuk dan menghidupkan enjin.

Ruang dalaman diberi sentuhan kulit warna gelap pada setiap ruang dan panel, cukup sporty dan bersih berbanding padanan kulit cerah yang tidak tahan lama.

Stereng dan tombol gear dengan kemasan kulit.

Papan pemuka jentera Volvo amat menarik dengan susunan butang kawalan kemas bersama sistem hawa dingin.

Unit kawalan ini berada pada sekeping 'papan nipis' di ruang tengah antara pemandu dan penumpang hadapan.

Sistem audio dengan penukar enam cakera bersama lapan pembesar suara memberi kepuasan maksimum.

Paparan meter analog terbaru selain skrin memaparkan maklumat kenderaan menjadikan pemanduan lebih santai.

Sistem Navigasi Volvo (VNS) dengan aplikasi GPS Garmin dan peta MapKing memudahkan pemandu.

S40 2.0L dijana enjin empat silinder 1,999cc yang menawarkan kuasa maksimum sehingga 145hp pada 6,000 rpm manakala tork setinggi 185Nm pada 4,500 rpm.

Walaupun jentera ini agak berat pada kedudukan pegun tetapi sebaik mendapat momentum, S40 nyata hebat.

Malah, tidak sukar mengerah enjin sehingga 200km/j.

Laluan selekoh mudah diratah kerana ia dilengkapi sistem bagi mengawal roda daripada membuang.

S40 2.0L mengambil masa 9.8 saat untuk bergerak dari kedudukan pegun sehingga kelajuan 100km/j sementara tahap purata penggunaan petrol sekitar 8.1 liter per 100 km.

Dibekalkan bersama transmisi automatik enam kelajuan Powershift, model ini menjimatkan minyak.

Ia menyediakan beg udara dua peringkat, Sistem Impak Perlindungan Sisi (SIPS), WHIPS, ABD,EBD,EBA dan BLIS.

Ketelitian kejuruteraan Scandinavia menjadikan S40 bukan sahaja berteknologi tinggi, tetapi eksklusif dan mewah.

Jika mampu, harga RM169,950 (tanpa insuran) tidak terlalu mahal berbanding teknologi dan kehebatannya.

SPESIFIKASI

VOLVO S40 2.0L

ENJIN: Empat silinder 1,999cc

KUASA MAKSIMUM: 145hp pada 6,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 185Nm pada 4,500 rpm

TRANSMISI: Automatik enam kelajuan dengan Powershift

CIRI KESELAMATAN: Beg udara dua peringkat, (SIPS), WHIPS, ABD,EBD,EBA dan BLIS.

HARGA: RM169,950 (tanpa insuran)

Tayar dicadangkan: SportContact-1 205/55 R16 91V


Tuesday, October 27, 2009

MPV Mercedes R280



KENDERAAN pelbagai guna (MPV) memang sesuai dijadikan 'jentera pengembaraan' berikutan faktor keluasan dan keselesaan sepanjang menempuh perjalanan jauh.

Namun, mencari MPV menyamai sebuah jentera mewah agak sukar jika ia bukan daripada jenama kenderaan bertaraf dunia.

Pengeluar kenderaan gergasi Jerman, Mercedes melihat jentera MPV boleh disatukan melalui produk terbarunya.
Peluang memandu uji MPV Mercedes R280 membuktikan suntikan kemewahan tetap sama pada semua model keluaran syarikat bintang bucu tiga itu.

Pertama kali melihat susuk tubuh R280, tergambar keluasan dalamannya dan sebaik pintu dibuka, jelas jentera besar ini menawarkan keselesaan paling tinggi dalam kelasnya.

Sudut luaran bersama alunan lentur angin setiap sisi menjadikannya lebih aerodinamik walaupun bersaiz mega.

Gril hadapan yang dihiasi logo bintang bucu tiga besar mencerminkan bahawa jentera berkenaan tetap mengutamakan kemewahan.

Lampu projektor teknologi HID manakala sistem LED di dalam perumah lampu belakang membantu penglihatan lebih jelas pada waktu malam.

Padanan ekzos berkembar menjadikannya lebih sporty dan garang dan hiasan bumbung suria tampak lebih bergaya.

Semua tujuh kerusi termasuk dua kerusi penumpang barisan ketiga disaluti kulit mewah berwarna hitam manakala papan pemuka lebih kepada sedan versi E Class atau ML 350.

Skrin digital untuk sistem Command APS mendominasi papan pemuka tengah.

Sistem audio boleh bertukar kepada telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi Bluetooth.

Pemandu hanya perlu menekan butang di stereng untuk menjawab panggilan.

Teknologi Comand APS dan Linguatronic membolehkan sistem audio, navigasi, telefon dan pemain cakera padat dikawal menggunakan suara.

Sistem ini adalah standard bagi semua model kenderaan mewah Jerman ini.

MPV mewah ini mendapat suntikan nadi enam silinder (V6) 3.0 L tujuh kelajuan (7G-Tronik) menawarkan kuasa kuda sehingga 231hp manakala tork mencecah 300Nm pada 2,500 rpm hingga 5,000 rpm.

Walaupun memiliki tubuh yang besar dan sasa, R280 hanya mengambil masa 9.6 saat untuk memecut dari kedudukan pegun hingga ke kelajuan 100km/j.

Malah, tahap penggunaan bahan api juga boleh dianggap berbaloi apabila purata mencatatkan sebanyak 10.9L bagi 100 km.

Ini kerana R280 sepanjang 5,157 mm dan seberat 2,810 kilogram manakala tangki petrolnya sebesar 80 liter.

Bagi penulis yang pertama kali memandunya, pasti faktor saiz menjadi isu, tetapi selepas beberapa jam memandunya, R280 mudah dikendalikan termasuk bantuan sensor hadapan dan belakang ketika mahu meletak kenderaan di parkir.

R280 memang tidak mengecewakan terutama ketika memecut di lebuh raya.

Bantuan sistem suspensi udara Airmatic dengan Adaptive Damping System (ADS) banyak membantu menstabilkan kenderaan.

R280 dibekalkan denga ndua mod pemanduan iaitu Comfort untuk keselesaan semua penumpang manakala mod Sport bagi pemanduan lebih keras.

Seperti kenderaan Mercedes-Benz yang lain, R280 tidak ketinggalan dilengkapi kemampuan dan kawalan elektronik yang menjadi teras pembuat kenderaan Jerman ini.

Antaranya ialah Thermotronik yang membantu pemandu melaraskan suhu dalam kabin manakala sistem perlindungan Pre-Safe dengan beg udara hadapan dan sisi menjamin keselamatan setiap penumpangnya.

Berharga 458,888 seunit, Mercedes R280 menjadi satu-satunya MPV kelas mewah tanpa kompromi walaupun ketika berada di kerusi penumpang paling belakang.

SPESIFIKASI

Mercedes-Benz R280

Enjin: V6 2,996cc 24 injap

Kuasa maksimum: 231hp pada 6000 rpm

Tork maksimum: 300 pada 2500-5000 rpm

Transmisi: 7G-Tronik

Ciri keselamatan: ADS, ABS, beg udara

Harga: RM458,888.00

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 255/55R18 105W

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Vroom/20091027103016/Article/indexv_html

http://www.autocar.co.uk/CarReviews/FirstDrives/Mercedes-Benz-R-Class-R280-CDI/229301/

Friday, October 9, 2009

Tenaga dinamik BMW


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my
Model BMW X3 xDrive20d Executive Edition misalnya dipasang dengan enjin diesel terkini. Enjin empat silinder dengan blok aluminium sepenuhnya itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 130kW dan 20 kilogram lebih ringan.

Akhirnya, teknologi yang menjadi dambaan peminat automotif dunia kini tiba di pasaran tempatan. Dibawakan oleh pihak BMW Malaysia, teknologi termaju enjin diesel yang dikenali sebagai Efficient Dynamics itu pasti membuka satu lembaran baru dalam usaha penggunaan bahan api lebih cekap di Malaysia.

Penerimaan pengguna terhadap teknologi itu terbukti menerusi angka jualannya di seluruh dunia. Pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 700,000 unit kenderaan yang dilengkapi teknologi Efficient Dynamics berjaya dijual di Eropah.

Menjelang akhir tahun ini, dijangka sebanyak satu juta kenderaan BMW berteknologi itu akan berada di atas jalan raya. Populariti jentera keluaran BMW itu banyak disokong oleh lebih 30 anugerah yang diperolehnya dalam tempoh 10 tahun berikutan kecekapan penggunaan bahan api dan prestasi yang ditawarkannya. Tidak hairan juga jika enjinnya dinobatkan sebagai International Engine of the Year Awards.

Pihak Berkuasa Pengangkutann Motor Persekutuan Jerman mengiktiraf BMW sebagai jenama premium paling menjimatkan pada awal tahun ini.

Apa sebenarnya teknologi Efficient Dynamics? Ia terdiri daripada teknologi High Precision Injection (HPI), BMW Advanced Diesel Engine, Electric Power Steering, Brake Energy Regeneration, reka bentuk aerodinamik dan penggunaan material binaan yang ringan.

HPI yang menjadi teknologi utama dalam Efficient Dynamics dilengkapi dengan rangkaian penyuntik Piezo. Ia diletakkan di antara injap-injap bagi membolehkan proses pembakaran bahan api yang sempurna dan bercekapan tinggi.

Sementara teknologi Brake Energy Regeneration pula membolehkan bateri dicaj menggunakan tenaga kinetik apabila pemandu mengangkat kaki daripada pedal minyak dan menekan brek. Tenaga elektrik daripada bateri itu akan digunakan untuk operasi seluruh peralatan elektrikal dalam kenderaan tersebut.

Reka bentuk aerodinamik yang optimum digabungkan dengan inovasi pengurangan beban melalui penggunaan material ringan seperti aluminium dan magnesium. Hasilnya, ia bukan sahaja meningkatkan tahap penghantaran kuasa, malah menjadikan jentera berasa lebih tangkas.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoff Briscoe menyifatkan pengenalan model BMW berenjin diesel dilihat tepat pada masanya. Ia berikutan perubahan kesedaran pengguna Malaysia terhadap alam sekitar, selain inisiatif kerajaan memperkenalkan diesel gred Euro 2.

"Kami memberi fokus istimewa terhadap teknologi diesel di sini. Wujud banyak salah faham bahawa minyak diesel tidak bersih, mahal dan bising. Sedangkan enjin diesel menawarkan 20 peratus lebih kuasa kuda, 75 peratus lebih tork, 30 peratus pengurangan penggunaan bahan api dan 20 peratus kurang mengeluarkan gas karbon monoksida (CO2).

"Pengguna juga boleh berjimat kerana harga diesel 10 sen lebih murah berbanding petrol. Perkiraannya begini, jika memandu tujuh hari seminggu, dua hari daripadanya anda seakan-akan memandu menggunakan diesel secara percuma," kata Briscoe dalam ucapan alu-aluannya.

Perlu diingatkan bahawa teknologi ini tidak terhad kepada model-model tertentu sahaja. Justeru, BMW Malaysia menawarkan empat model diesel terbaru seperti BMW 320d Sports, BMW 520d Sports Edition, BMW X3 xDrive20d Executive Edition dan BMW 730Ld. Lebih menarik lagi, model paling laris iaitu BMW 320i Sports hanya kurang RM7,000 berbanding BMW 320d Sports. Satu tawaran yang nyata sukar untuk diketepikan.

Enjin diesel binaan BMW juga memberikan model BMW 320d tork maksimum sehingga 350Nm, terbaik dalam kelasnya. Ini membolehkannya mencecah kelajuan 100 km/j dalam hanya 8.4 saat.

BMW juga mendakwa dengan satu tangki penuh, enjin itu membolehkan anda boleh pergi sejauh 1,000 kilometer!

Menjawab skeptikal pengguna Malaysia terhadap kualiti diesel yang ada di stesen minyak seluruh negara, Pengurus Pembangunan Produk BMW Malaysia, Daren Ching menegaskan bahawa model-model diesel BMW itu tidak berdepan sebarang masalah dengan realiti diesel tempatan yang bersulfur tinggi.

"Kami cuma mengalihkan diesel particle filter (penapis partikel diesel) daripada model-model yang dipasarkan di Malaysia. Pengguna tidak perlu bimbang tentang prestasinya," kata Daren.

Ditanya mengenai penerimaan orang ramai terhadap produk terbaru itu, Briscoe yakin permintaan akan meningkat menerusi promosi dari mulut ke mulut.

Bermula 3 Oktober, kesemua empat model BMW EfficientDynamics itu boleh dilihat secara dekat di 14 buah bilik pameran BMW di seluruh negara.

Harga jualan bagi model-model ini tidak termasuk insuran, tetapi ia hadir bersama BMW servis yang meliputi jaminan selama tiga tahun atau 60,000 km perbatuan dan penyelenggaraan.

*BMW 320d Sports: RM255,800

*BMW 520d Sports Edition: RM379,800

*BMW X3 xDrive20d Executive Edition: RM333,800

*BMW 730Ld: RM698,800

Honda Stream RSZ






Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my

Dibina untuk keluarga dan digayakan untuk si bujang, Honda Stream generasi kedua yang dikenali sebagai Stream RSZ itu nyata memiliki banyak kelebihan tersendiri.

Saya harus mengakui bahawa jentera yang baru dipandu uji ini merupakan varian terbaik model Stream. Model yang terhasil daripada gabungan segmen MPV dan station wagon itu nyata mampu mengukuhkan lagi kenyataan bahawa kenderaan untuk keluarga juga boleh disuntik dengan elemen sporty.

Penampilan penuh gaya Honda Stream RSZ berwarna putih mutiara itu banyak disumbangkan oleh bodykit penuh RSZ. Ia meliputi bumper hadapan yang lengkap bersama sepasang lampu kabus, gril radiator dengan emblem Honda dan RSZ berwarna merah putih, skirt sisi serta bumper belakangnya. Lampu utama jenis HID (High Intensity Discharge) itu diletakkan dalam perumah berwarna hitam. Kemudian, wajah itu disempurnakan dengan rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci.

Itu untuk bahagian luarnya. Secara peribadinya, saya cukup menyukai tona yang digunakan untuk kokpitnya. Warna hitam memonopoli setiap inci ruang. Sama ada papan pemuka, panel sisi mahupun tempat duduk. Tempat duduk yang dibalut dengan material berkualiti tinggi itu juga memberi sokongan sebaiknya kepada tubuh agar perjalanan jauh tidak terasa terlalu meletihkan.

Tiada sebarang corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang. Jangan bimbang, udara sejuk mampu sampai kepada anda kerana empat corong udara bersaiz besar yang ada pada papan pemuka dapat menjalankan fungsinya dengan cukup baik.

Walaupun Stream RSZ boleh menempatkan tujuh orang dengan selesa, tetapi dua tempat duduk paling belakang boleh dikatakan lebih sesuai untuk kanak-kanak. Bagi memaksimumkan ruang penyimpanan barang dan menjadikannya lebih luas, tuil gear diletakkan pada konsol tengah bersebelahan dengan butang kawalan pendingin hawa. Tuil brek tangan juga ditiadakan dan diganti dengan brek yang diletakkan di sebelah pedal brek.

Benda pertama yang akan saya keluarkan daripada Stream RSZ adalah unit audio double DINnya. Bukan tidak cantik, tetapi pemain cakera padat, muzik format mp3 dan USB itu kurang mesra pengguna.

Percaya atau tidak, agak sukar untuk anda mencari frekuensi stesen radio secara manual. Kalau dilakukan secara automatik pula, susah sekali ia akan 'melekat' pada stesen radio yang anda mahukan. Mujur juga ia boleh memainkan muzik daripada mp3 dan bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suaranya memuaskan.

Stream RSZ dipasang dengan unit enjin bersesaran 1.8 liter sebagaimana yang ada pada model Stream standard. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin i-VTEC SOHC itu perlu dipaksa bekerja sedikit keras untuk mengheret tubuhnya yang agak besar.

Namun, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana responsif enjinnya masih boleh dirasai dengan ketara apabila jarum memanjat angka 4,000 rpm ke atas.

Bagi mereka yang gemar untuk mengawal sendiri kedudukan gear sewaktu memandu, anda boleh melakukannya menerusi paddle shifter pada bahagian belakang stereng. Harap-harap kuasa yang diagihkan menerusi gear lima kelajuan itu mampu menepati ekpektasi anda.

Kuasa membrek yang ditawarkan oleh sistem brek cakera ventilasi pada roda hadapan dan gelendong dalam cakera pasti menghilangkan keraguan setiap pemandunya. Dilengkapi bersama sistem brek anti kunci (ABS) dan EBD, keselamatan aktif yang dipadankan bersama dua beg udara SRS itu tidak pernah berkompromi dengan sebarang kemungkinan buruk yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Jika anda memandu dalam keadaan releks dan jarum rpm berlegar di antara 1,000 hingga 3,000 rpm, perkataan ECO pada paparan meter akan menyala. Itu maksudnya, enjin bergerak dalam mode ekonomi.

Berbanding model Stream standard, Stream RSZ telah direndahkan sebanyak 45mm bagi memberikannya titik graviti lebih rendah. Ciri itu mengoptimumkan rekaan lantai rata pada model stream untuk menawarkan tahap pemanduan yang lebih stabil.

Bersaing dengan model seperti Toyota Wish dan Mazda5, Stream RSZ turut dipasarkan di Hong Kong, Macau, Brunei dan Singapura, selain Jepun. Sejak menemui khalayak pada tahun 2006, jualannya mencecah lebih 59,000 unit.

Stream RSZ hadir dalam empat warna pilihan iaitu putih, hitam, merah dan kelabu. Ia dijual pada harga RM155,980 seunit (di atas jalan dengan insurans).

Naza to assemble ASEAN Peugeot 207 Sedan in Gurun from October 2010



Peugeot and Naza signed an MoU for the assembly of the Peugeot 207 Sedan in Paris today. Naza’s plant in Gurun will be the production hub for the 207 Sedan for the ASEAN region from October 2010 onwards. For now, the Gurun plant will be the only right hand drive 207 Sedan assembler in the world. A production of 18,000 units a year is planned.

The 207 Sedan is essentially an updated 206 Sedan based on the 206 chassis. Previous stories revealed that it will be offered with a 1.6 liter engine, which is up from the 1.4 liter found in the Naza 206 Bestari.

The project is referred to internally by Naza as the T33 Project. Naza is the current franchise holder for Peugeot here in Malaysia under its company Nasim Sdn Bhd. They’ve made a name for offering excellent value for money pricing for locally assembled cars such as the 308 and the 407, something that is really unusual with Continental makes here in Malaysia.

Ever since taking over the Peugeot franchise, Peugeot sales in Malaysia have risen from 748 units for the whole of 2008 to the current figure of 2758 units as of August 2009.



Read more: http://paultan.org/topics/cars/peugeot/#ixzz0TRZMhNPh


Read more: http://paultan.org/topics/cars/peugeot/#ixzz0TRZGLDUL

Wednesday, October 7, 2009

Lebih mewah, lebih kuasa


KETIKA model pertama kenderaan sport utiliti (SUV) Fords Escape dilancarkan kira-kira lapan tahun lalu, ramai mengingati iklan jentera itu di kaca televisyen yang menggunakan Escape sebagai pemain bola sepak.

Iklan berkenaan yang menggambarkan kelasakan dan ketangkasan bertanggungjawab memperkenalkan model Escape di pasaran tempatan.


Kini, pengedar kenderaan Ford, Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd (Auto ConneXion) membawa jentera itu semula ke pasaran dengan gaya lebih terkini, mewah dan berkuasa.

Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Filipina itu memasuki pasaran Jun lalu dan peluang memandu uji model Ford Escape 2.3L 4X4 XLT pastinya satu pengalaman menarik.

Rupa luarannya diberi nafas baru, seratus peratus berbeza berbanding model pertama.

Escape kini lebih aerodinamik dan berwajah global berbanding model terdahulu lebih kepada rekaan barat yang berkotak.

Beberapa sentuhan kosmetik seperti gril hadapan krom lebih lebar, lampu antikabus bulat di dalam perumah baru menjadikan rupa SUV ini lebih segar.

Malah, lampu belakang LED sangat menarik serta membantu pemandu belakang melihat lebih jelas terutama ketika membrek.

Walaupun Escape bersaiz sederhana, ketelitian kejuruteraan Ford menjadikan model ini tampak besar dan tampan.

Ruang dalamannya menggunakan warna cerah (Beige) manakala kokpit tengah dberi sentuhan warna titanium.

Susunan butang kawalan hawa dingin dan pemain audio baru terlalu ringkas, tetapi mudah dicapai pemandu dan penumpang hadapan.

Lima penumpang dewasa bersama ruang barangan belakang menjadikannya kenderaan paling sesuai untuk beriadah bersama keluarga atau kawan-kawan.

Satu lagi ciri yang perlu ada bagi sebuah SUV adalah bumbung suria dan Escape menjadi antara model SUV saiz sederhana dilengkapi kemudahan itu.

Balutan kulit mewah menambahkan lagi keselesaan terutama ketika melakukan perjalanan jauh.

Ford Escape 2.3L 4X4 XLT dibekalkan dengan nadi terbaru yang didatangkan bersama teknologi Variable Valve Timing (VVT) dan Electronic Throttle Control (ETC) yang menyalurkan tenaga tambahan seterusnya berjaya mengurangkan penggunaan bahan api.

Model terbaru ini menempatkan tombol gear di lantai berbanding bahagian leher stereng pada model terdahulu.

Padanan sistem suspensi Independent Multilink mengurangkan olengan ketika mengambil selekoh manakala pecutan di jalan raya memuaskan.

Jentera bergaya ini mampu memecut sehingga 165 km/j, tetapi faktor fizikalnya yang tinggi agak menggusarkan.

Sistem Control Trac II membolehkan keempat-empat roda dikunci apabila jentera memerlukan lebih cengkaman sewaktu melalui jalan tidak rata atau berbukit.

Escape ditawarkan dengan beg udara berkembar hadapan dan beg udara sisi serta Brek Anti Kekunci (ABS) bersama EBD pada keempat-empat rodanya.

Dengan harga RM134,837 (tak termasuk cukai jalan dan insurans), Escape bakal menarik perhatian mereka yang mahukan SUV moden lasak dan bergaya urban.

>SPESIFIKASI

Ford Escape 2.3 4x4 XLT

Enjin: Durateq 2,261cc empat silinder DOHC 16V VVT dan ECT

Kuasa maksimum: 154hp pada 6,000 rpm

Tork maksimum: 200Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: Automatik empat kelajuan

Ciri keselamatan: ABS, EBD, bed udara hadapan berkembar dan sisi

Harga: RM134,837 tak termasuk cukai jalan dan insurans.

Tayar yang dicadangkan: ContiCrossContact LX 215/70 R16 100T


Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Vroom/20091006111011/Article/indexv_html

Chery Eastar 2.4L MPV




Chery Car Prices

Thursday, October 1, 2009

Portal tayar pertama Asia

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

Portal tayar pertama dan terbesar di Asia itu menghimpunkan maklumat komprehensif tentang saiz, spesifikasi, harga bagi pelbagai jenama tayar dan pembeliannya.

PROSES membeli tayar kenderaan boleh menjadi rumit terutamanya jika anda mempunyai 'sifar' pengetahuan tentangnya. Dengan pelbagai lambakan jenama dan aneka spesifikasi di pasaran, anda kadangkala buntu yang manakah yang bersesuaian untuk model kereta anda.

Mungkin selama ini anda hanya tahu menekan pedal minyak, brek, mengemudi stereng dan serba sedikit ilmu menyelenggara kenderaan. Namun, bila tiba bab membeli tayar apabila ia rosak atau perlu diganti, anda menjadi bingung.

Kedai mana hendak dituju? Jenama apa dan spesifikasi bagaimana yang bersesuaian? Jenama apa lagi yang sesuai dengan model kereta saya dan lebih murah? Perlukah saya meninjau dari satu kedai ke satu kedai untuk melihat produknya dan harganya? Boleh percayakah harga yang diletakkan pekedai?

Itulah antara soalan yang mungkin bermain di minda anda jika berdepan dengan situasi ini.

Laman web

Dengan wujudnya laman web pembelian tayar www.tyrepac.com.my yang dilancarkan baru-baru ini, soalan-soalan itu mungkin terhapus. Dengan portal tayar itu anda mungkin boleh membuat penilaian dan keputusan sendiri tentang tayar yang hendak dibeli.

Portal tayar pertama dan terbesar di Asia itu menghimpunkan maklumat komprehensif tentang saiz, spesifikasi, harga bagi pelbagai jenama tayar dan pembeliannya. Ia berasaskan konsep online tyre hypermarket yang popular dan sangat berjaya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.


PELBAGAI jenama tayar yang popular ditawarkan di portal Tyrepac.

Beribu pejabat di Singapura, portal Tyrepac didedikasikan buat pengguna-pengguna di Asia. Pada masa ini, ia beroperasi di Hong Kong, Korea, China dan Malaysia. Ia bakal memperluaskan operasinya ke Indonesia, Filipina, India, Jepun, Australia dan New Zealand pada masa akan datang.

Respons

Pelancarannya juga dianggap sebagai satu revolusi baru dalam pembelian tayar di Asia termasuk negara ini.

"Respons yang kami terima sejak ia mula dilancarkan di Singapura enam bulan lalu sangat fenomena. Kami telah tersenarai sebagai sepuluh laman jualan dalam talian paling banyak dilayari sebaris dengan laman dalam talian gergasi, Amazon. Ini menunjukkan potensi yang amat luas dalam industri peruncitan secara talian di Asia," kata Pengurus Besar Tyrepac Asia Tenggara, Tyrepac Pte. Ltd., Adrian Thio ketika pelancarannya di sebuah restoran di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Laman web baru itu bersifat seperti stor sehenti dalam talian yang komprehensif. Bayangkan tanpa perlu ke kedai atau ke bengkel kereta, anda boleh membuat perbandingan harga dan melihat gambar produk tayar hanya dengan duduk di atas kerusi anda. Terdapat sembilan jenama tayar kesemuanya iaitu Goodyear, Dunlop, Sime Tyres, Pirelli, Kumho, Continental, Yokohama, Cooperties dan Corsa.

Model kereta

Portal laman web itu juga bersifat intuitif dan mempunyai antara muka yang mudah dikendalikan. Ia membuatkan kerja mencari tayar yang bersesuaian dengan model kereta anda menjadi mudah.

Untuk memudahkan pencarian, pada laman utama web, anda perlu mengisi maklumat mengenai kenderaan anda menerusi senarai jenama kenderaan, modelnya dan tahun pembuatan yang tersedia. Terdapat kira-kira 30 jenama kenderaan kesemuanya termasuk kenderaan buatan tempatan seperti Produa dan Proton.


ADRIAN THIO (kanan) bersama Pengarah Urusan Tyrepac Malaysia, Jacob Chen (tengah) dan Pengarah Urusan Tyrepac Asia Tenggara, Lee Hwee Tiong pada majlis pelancaran Tyrepac di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, ia secara automatik memberitahu saiz atau dimensi tayar kereta anda. Kemudian, ia menyenaraikan seleksi jenama atau model tayar yang bersesuaian dengan kenderaan anda. Ia begitu mudah!

Menawarkan pembelian secara dalam talian, pelanggan kemudiannya boleh melakukan pembelian secara terus di hujung jari.


PENGGUNA kini boleh membeli tayar secara talian.


Selepas pelanggan membuat pembelian, Tyrepac akan mengesahkan tempahan tersebut dengan pelanggan dan ia akan menghubungi pusat pemasangan tayar serta-merta. Terdapat hampir 70 pusat pemasangan tayar Tyrepac di seluruh negara.

Tarikh

Pelanggan kemudian memilih tarikh untuk tujuan pemasangan. Tarikh tersebut mestilah selepas dua hari membuat pembelian.

Tyrepac selepas itu akan mengesahkan penghantaran tayar sehari sebelum tarikh yang telah dipersetujui untuk pemasangan. Ia bagi memastikan tayar tersebut sudah ada apabila pelanggan tiba ke pusat pemasangan pada hari pemasangan.

Tyrepac turut menawarkan konsultasi bagi mereka yang memerlukan. Mereka boleh dihubungi menerusi telefon dan e-mel. Perunding-perunding Tyrepac turut dilatih untuk membantu pelanggan memilih tayar terbaik bersesuaian dengan keperluan, bajet dan gaya hidup pelanggan.

"Akan sentiasa ada permintaan bagi tayar. Ini kerana, setiap kereta sama ada yang lama atau baru akan tiba masa untuk menukar tayar. Kami juga melihat potensi yang hebat di Malaysia, memandangkan ia merupakan pasaran sedan terbesar di Asia," tambah Thio.

Menurut Thio, syarikat itu merancang untuk memiliki 150 pusat pemasangan di Malaysia pada hujung tahun ini dengan memperkasa khidmat pelanggannya.

Tyrepac kini boleh dilayari pada laman www.tyrepac.com.my. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 03-7783 9309 atau e-mel ke info@tyrepac.com.my.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

Wednesday, September 30, 2009

Badang mewah





KENDERAAN sport utiliti (SUV) memang menjadi pilihan mereka yang gemarkan aktiviti riadah, lasak tetapi selesa.

Baru-baru ini, Mercedes-Benz (M) Sdn Bhd memperkenalkan model SUV mewah, ML350 versi 2009 yang lasak di belantara dan mewah di dalamnya.


Peluang memandu uji model SUV ini membuatkan penulis terfikir adakah pembeli sanggup melanyak jentera berharga lebih setengah juta ringgit ini mengharungi lumpur?

Sudut luaran ML350 bertubuh sasa dan alunan lentur angin setiap sisi menjadikannya tampak maskulin.

Melihat gril hadapan yang dihiasi logo bintang bucu tiga besar mencerminkan bahawa jentera berkenaan masih mengutamakan kemewahan.

Lampu projektor teknologi HID manakala sistem LED di dalam perumah lampu belakang membantu penglihatan lebih jelas pada waktu malam.

Padanan ekzos berkembar menjadikannya lebih sporty dan garang dan hiasan bumbung suria tampak lebih bergaya.

ML350 dibekalkan nadi enam silinder silinder 18 injap bersesaran 3,498cc digabungkan dengan transmisi pacuan empat roda tujuh kelajuan (7G-Tronic).

SUV mewah ini mampu menawarkan kuasa maksimum 272hp selain tork sekuat 350Nm pada 2,400 hingga 5,000 rpm.

Paling menarik ML350 ini dibekalkan dengan sistem suspensi Airmatic kawalan empat roda menggunakan udara yang mengawal olengan badan seberat 2.8 tan ini.

Airmatic mempunyai tiga mod berbeza yang mampu merendah atau meninggikan jentera ini.

Sebagai contoh, apabila pemandu ingin meredah semak atau belukar, tinggikan SUV ini untuk ruang lega bumi yang lebih, tetapi sekiranya mahu memecut laju di lebuh raya, sistem ini akan merendahkan badan secara automatik.

Malah, sistem DSR (Downhill Speed Regulation) dan sistem ESP (Electronic Stability Program) untuk pacuan empat roda membolehkan SUV mewah ini melaksanakan tugasnya dengan cemerlang di laluan berbukit atau licin.

DSR menetapkan kelajuan sesuai ketika menuruni cerun yang curam sementara ESP membantu pemandu daripada hilang kawalan apabila tayar tergelincir.

Bantuan tayar dengan rim aloi 19 inci dilengkapi dengan alat pengesan tekanan udara membolehkan ML350 dikawal lebih mudah.

Menerjah ke ruang kabin jelas menunjukkan ia bukanlah SUV sembarangan.

Imej mewah terserlah di segenap sudut termasuk balutan kulit lembut selain kemasan aluminium dan krom digunakan bagi membangkitkan imej maskulin.

Skrin digital untuk sistem Command APS mendominasi papan pemuka tengah.

Sistem audio boleh bertukar kepada telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi Bluetooth.

Pemandu hanya perlu menekan butang di stereng untuk menjawab panggilan.

Teknologi Comand APS dan Linguatronic membolehkan sistem audio, navigasi, telefon dan pemain cakera padat dikawal menggunakan suara.

Sistem ini adalah standard bagi semua model kenderaan mewah Jerman ini.

Penulis tidak sempat mengujinya di kawasan 'off-road', tetapi pegawai media Mercedes-Benz mengakui ML350 mampu menyusuri cerun dan lopak dalam pada ekspedisi tempoh hari.

Bagi unit pandu uji ini, penumpang belakang boleh menikmati hiburan cakera padat video digital (DVD) bersama 'headphone' tanpa wayar yang terletak di belakang kedua-dua kerusi pemandu hadapan.

Pada kelajuan tinggi melebihi 200 km/j, ML350 langsung tidak beroleng, malah tetap stabil dan kukuh umpama sebuah sedan biasa.

Masalah bunyi antara tayar dan angin yang sering menghantui kebanyakan SUV kerana ketinggiannya tidak berlaku. Selekoh yang diambil secara laju mudah ditawan, tiada goyangan ekor atau daripada hadapan.

Malah, ketika mengujinya dengan membrek keras ketika mengambil selekoh, sistem ESP menendang masuk dan mengawal kenderaan supaya tidak membuang.

Jelas, Mercedes sentiasa mengutamakan kualiti yang mengagumkan. Cukup selamat, cukup meyakinkan.

Jelas Mercedes-Benz berjaya menghasilkan kenderaan yang benar-benar mampu menerokai hutan belantara, tetapi pada masa sama masih disaluti kemewahan sejati.

Berharga RM548,888 seunit, model pandu uji Mercedes-Benz ML350 kali ini adalah versi Sports Package yang dipertingkatkan, tetapi memiliki harga sama seperti model terdahulu.

SPESIFIKASI

Mercedes-Benz ML350

Enjin: Enam silinder 18 injap 3,498cc

Kuasa maksimum: 272hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 350Nm pada 2,400 - 5,000rpm

Transmisi: AWD tujuh kelajuan 7G-Tronic

Ciri keselamatan: ABS, BAS, EBD, ESP, DSR, Arcade, beg udara

Harga: RM548,888.00

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 255/50R19 103W

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Proton Exora 1.6 AT











OTR Price from RM69,548.00 to RM75,998.00

http://www.proton-edar.com.my/index.php?page=exora
http://kereta.info/proton-exora-mpv-full-specification-pictures-video-price-of-proton-mpv/

Tuesday, September 29, 2009