Sunday, December 27, 2009

Nissan Murano - Garang & mewah




Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

POPULARITI model kenderaan sport utiliti (SUV) Nissan Murano tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ia antara kenderaan mewah, garang dan bergaya.


Peluang memandu uji model SUV premium versi 2009 diimport Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membolehkan penulis mencungkil rahsia di sebalik namanya berkenaan.

Dengan sistem 'Smart Entry', penulis hanya perlu menyimpan kunci dalam kocek dan menyentuh pembuka pintu tanpa perlu menekan butang untuk mematikan penggera.

Menerjah ke ruang dalamannya, pelbagai butang kawalan yang memenuhi papan pemukanya sedikit mengellirukan.

Namun, kejuruteraan tinggi Nissan menjadikan ia mudah dikawal dengan hanya satu sentuhan.

Ia dihias kulit gelap selain papan meter kelajuan besar manakala sistem kawalan audio dan unit hawa dingin sedikit terkeluar ke hadapan menjadikan ia unik.

Kerusi penumpang belakang boleh diturunkan memberi kelegaan terutama untuk perjalanan jauh. Jika mahu ruang lebih luas, kerusi barisan kedua juga boleh diturunkan.

Sistem audio Bose memang menarik dengan 11 pembesar suara termasuk satu subwoofer di bahagian tayar simpanan yang menghasilkan bunyi cukup bertenaga.

Dua bumbung suria menghiasi siling kabin di mana kedua-duanya mempunyai tirai untuk dibuka sementara yang di depan boleh dibuka terus.

Ciri luaran Murano kekal garang dengan gril hadapan krom lebih lebar bersama perumah lampu hadapan.

Tiga perumah lampu projektor memuatkan dua unit berkembar sistem Bi-Xenon, satu untuk lampu meletak kenderaan dan lampu belakang dengan mentol LED.

Rim aloi 18 inci dengan enam bilah menjadikannya lebih bergaya, moden dan seksi.

Model ini didatangkan dengan enjin VQ35DE, sama untuk model sport Nissan 350Z, antara enjin terbaik di dunia.

Tidak hairanlah jentera seberat 2,369 kg ini mampu memecut sehingga melebihi 200 km/j di lebuh raya.

Deruman enjinnya sahaja cukup mengujakan dan dengan susunan V6 dan sesaran 3,498cc, Murano menawarkan kuasa maksimum sehingga 256hp.

Sistem transmisi Xtronic CVT enam kelajuan menjanjikan penjimatan minyak sebanyak 9.3km/ liter, satu angka sukar dicapai mana-mana model SUV berenjin petrol.

Sistem All Mode 4X4i memberikan cengkaman kepada keempat-empat roda dan 50 peratus tenaga boleh disalurkan ke roda belakang dengan pantas.

Ketika memecut Murano di kelajuan tinggi, ia nyata hebat dan penulis terlupa ia kenderaan model Jepun.

Selekoh boleh diambil sama seperti memandu sebuah kereta sedan. Berharga RM330,000 atas jalan termasuk insurans, ia adalah SUV mewah tetapi dijana enjin sebuah kereta sport terbaik dalam kelasnya.

SPESIFIKASI

NISSAN MURANO

Enjin: VQ35DE DOHC 24 injap V6 3,498cc

Kuasa maksimum: 256hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 336Nm pada 4,400rpm

Transmisi: Xtronic CVT enam kelajuan dengan All Mode 4x4i

Ciri keselamatan: Beg udara depan, sisi dan tirai, Vehicle Dynamic Control (VDC), ABS, EBD, BA dan sebagainya

Harga: RM330,000 atas termasuk insurans

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 235/60 R18 107W