Monday, February 21, 2011

Honda bakal bawa versi baru hibrid ke pasaran

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/21

HONDA CR-Z Hibrid Sport miliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi.
HONDA CR-Z Hibrid Sport miliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi.
CR-Z Hybrid Sport 1.5 liter i-VTEC dijual pada harga RM120,000

HONDA Malaysia Sdn Bhd dijangka membawa masuk satu lagi versi baru kereta hibrid, iaitu Honda CR-Z Hybrid Sport ke pasaran tempatan sekitar suku kedua tahun ini.
Sumber industri berkata, model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC itu, akan dijual pada harga sekitar RM118,000 hingga RM120,000 seunit.
“Pengenalan model hibrid itu sejajar dengan komitmen Honda untuk terus merangsang pasaran automotif tempatan dengan pengenalan beberapa barisan model baru dan model dipertingkatkan tahun ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kali terakhir Honda Malaysia melancarkan model barunya pada Disember lalu dengan menampilkan versi Honda Insight hibrid dan difahamkan model itu kini sudah meraih tempahan lebih daripada 1,300 unit.

Selain Insight hibrid yang menggunakan enjin 1.3 liter SOHC i-VTEC dan dijual pada harga atas jalan RM98,000 seunit, Honda Malaysia turut memasarkan Civic Hibrid pada harga RM108,980 di Semenanjung dan RM109,980 di Sabah dan Sarawak.

Sumber itu berkata, pengenalan Honda CR-Z Hybrid Sport Honda itu juga adalah hasil manfaat daripada langkah kerajaan melanjutkan insentif cukai menerusi pengecualian penuh cukai import dan eksais untuk kereta hibrid dalam pengumuman Bajet 2011.
Ia, katanya, sekali gus menjadikan kenderaan hibrid yang dipasarkan di Malaysia kini lebih mampu dimiliki.

Menerusi pelepasan cukai, jelas sumber, bagi kenderaan hibrid berkuasa 2,000 cc ke bawah, peserta industri seperti Honda akan mendapat lebih banyak pilihan untuk mempertingkatkan lagi rangkaian kenderaan hibrid di Malaysia.

Honda CR-Z hibrid yang digayakan dengan tempat duduk 2+2 coupe serta memiliki ciri yang sama seperti Volkswagen Scirocco, adalah kereta hibrid pertama Honda yang memiliki manual enam-kelajuan.

Model yang dianugerahkan sebagai Kereta Terbaik Jepun 2010, memiliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi sambil papan pemukanya yang memiliki pelbagai paparan maklumat, ditampilkan dengan pencahayaan lampu biru.

Gabungan tenaga model itu mampu menjana sehingga 122 brek kuasa kuda (bhp) pada 6,000 rpm dan tork maksimum sehingga 174Nm.

Sumber itu berkata, dengan pengenalan versi hibrid baru itu dan ditambahkan lagi dengan beberapa lagi model baru lain, Honda Malaysia dijangka berupaya meraih jumlah jualan keseluruhan sebanyak 48,000 unit pada tahun ini berbanding 44,486 unit tahun lalu.

Tahun lalu, model terlarisnya, City, kekal sebagai penjana utama pertumbuhannya dengan mencatatkan jualan 19,946 unit (45 peratus daripada keseluruhan jualan), diikuti model Civic dan Accord yang masing-masing menyumbang sebanyak 20 peratus dan 16 peratus jualan, manakala model CR-V edisi baru menyumbangkan sebanyak 12 peratus.

Bakinya disumbangkan oleh model CBU seperti Jazz, Stream, Freed, Odyssey, Civic Hybrid dan Type R, dan Accord V6.

source : BHARIAN

No comments:

Post a Comment