Sunday, December 27, 2009

Nissan Murano - Garang & mewah




Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

POPULARITI model kenderaan sport utiliti (SUV) Nissan Murano tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ia antara kenderaan mewah, garang dan bergaya.


Peluang memandu uji model SUV premium versi 2009 diimport Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membolehkan penulis mencungkil rahsia di sebalik namanya berkenaan.

Dengan sistem 'Smart Entry', penulis hanya perlu menyimpan kunci dalam kocek dan menyentuh pembuka pintu tanpa perlu menekan butang untuk mematikan penggera.

Menerjah ke ruang dalamannya, pelbagai butang kawalan yang memenuhi papan pemukanya sedikit mengellirukan.

Namun, kejuruteraan tinggi Nissan menjadikan ia mudah dikawal dengan hanya satu sentuhan.

Ia dihias kulit gelap selain papan meter kelajuan besar manakala sistem kawalan audio dan unit hawa dingin sedikit terkeluar ke hadapan menjadikan ia unik.

Kerusi penumpang belakang boleh diturunkan memberi kelegaan terutama untuk perjalanan jauh. Jika mahu ruang lebih luas, kerusi barisan kedua juga boleh diturunkan.

Sistem audio Bose memang menarik dengan 11 pembesar suara termasuk satu subwoofer di bahagian tayar simpanan yang menghasilkan bunyi cukup bertenaga.

Dua bumbung suria menghiasi siling kabin di mana kedua-duanya mempunyai tirai untuk dibuka sementara yang di depan boleh dibuka terus.

Ciri luaran Murano kekal garang dengan gril hadapan krom lebih lebar bersama perumah lampu hadapan.

Tiga perumah lampu projektor memuatkan dua unit berkembar sistem Bi-Xenon, satu untuk lampu meletak kenderaan dan lampu belakang dengan mentol LED.

Rim aloi 18 inci dengan enam bilah menjadikannya lebih bergaya, moden dan seksi.

Model ini didatangkan dengan enjin VQ35DE, sama untuk model sport Nissan 350Z, antara enjin terbaik di dunia.

Tidak hairanlah jentera seberat 2,369 kg ini mampu memecut sehingga melebihi 200 km/j di lebuh raya.

Deruman enjinnya sahaja cukup mengujakan dan dengan susunan V6 dan sesaran 3,498cc, Murano menawarkan kuasa maksimum sehingga 256hp.

Sistem transmisi Xtronic CVT enam kelajuan menjanjikan penjimatan minyak sebanyak 9.3km/ liter, satu angka sukar dicapai mana-mana model SUV berenjin petrol.

Sistem All Mode 4X4i memberikan cengkaman kepada keempat-empat roda dan 50 peratus tenaga boleh disalurkan ke roda belakang dengan pantas.

Ketika memecut Murano di kelajuan tinggi, ia nyata hebat dan penulis terlupa ia kenderaan model Jepun.

Selekoh boleh diambil sama seperti memandu sebuah kereta sedan. Berharga RM330,000 atas jalan termasuk insurans, ia adalah SUV mewah tetapi dijana enjin sebuah kereta sport terbaik dalam kelasnya.

SPESIFIKASI

NISSAN MURANO

Enjin: VQ35DE DOHC 24 injap V6 3,498cc

Kuasa maksimum: 256hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 336Nm pada 4,400rpm

Transmisi: Xtronic CVT enam kelajuan dengan All Mode 4x4i

Ciri keselamatan: Beg udara depan, sisi dan tirai, Vehicle Dynamic Control (VDC), ABS, EBD, BA dan sebagainya

Harga: RM330,000 atas termasuk insurans

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 235/60 R18 107W

Monday, December 14, 2009

Gaya maskulin S40 2.0L




PENGENALAN model terbaru Volvo, S40 2.0L memang kena pada masanya kerana jenama itu mula diminati ramai disebabkan teknologi dan reka bentuknya yang unik.

Peluang memandu uji model itu, baru-baru ini membuktikan Volvo Car (M) Sdn Bhd serius menawan hati golongan eksekutif muda yang mahukan kelainan.

Model S40 2.0L tidak jauh beza dengan versi 2.4L, tetapi beberapa pembaharuan teknologi menyaksikan model itu hebat.

Lampu hadapan teknologi Dual Xenon memanjang ke gril hadapan berpalang menjadikan ia tampak garang.

Malah, bagi unit pandu uji ini, warna putih ais memberikan impak tersendiri susuk tubuhnya yang tegap.

Gril hadapan berpalang sedikit ke hadapan daripada perumah lampu utama dengan logo Volvo lebih besar.

Garis lentur aerodinamik pada sisi S40 tampak lebih bergaya berbanding model lain.

Rim bersaiz 16 inci 'Cordelia' bersama kit penuh termasuk spoiler belakang menjadikan S40 lebih sporty dan maskulin.

Ciri sisi bersama lampu isyarat membelok dan indikator sistem titik buta atau Blind Spot Information System (BLIS) adalah ciri keselamatan terbaru ditawarkan model ini.

Hanya tarik pembuka pintu, S40 2.0L sedia dipandu kerana sistem 'keyless entry' memudahkan pemandu untuk masuk dan menghidupkan enjin.

Ruang dalaman diberi sentuhan kulit warna gelap pada setiap ruang dan panel, cukup sporty dan bersih berbanding padanan kulit cerah yang tidak tahan lama.

Stereng dan tombol gear dengan kemasan kulit.

Papan pemuka jentera Volvo amat menarik dengan susunan butang kawalan kemas bersama sistem hawa dingin.

Unit kawalan ini berada pada sekeping 'papan nipis' di ruang tengah antara pemandu dan penumpang hadapan.

Sistem audio dengan penukar enam cakera bersama lapan pembesar suara memberi kepuasan maksimum.

Paparan meter analog terbaru selain skrin memaparkan maklumat kenderaan menjadikan pemanduan lebih santai.

Sistem Navigasi Volvo (VNS) dengan aplikasi GPS Garmin dan peta MapKing memudahkan pemandu.

S40 2.0L dijana enjin empat silinder 1,999cc yang menawarkan kuasa maksimum sehingga 145hp pada 6,000 rpm manakala tork setinggi 185Nm pada 4,500 rpm.

Walaupun jentera ini agak berat pada kedudukan pegun tetapi sebaik mendapat momentum, S40 nyata hebat.

Malah, tidak sukar mengerah enjin sehingga 200km/j.

Laluan selekoh mudah diratah kerana ia dilengkapi sistem bagi mengawal roda daripada membuang.

S40 2.0L mengambil masa 9.8 saat untuk bergerak dari kedudukan pegun sehingga kelajuan 100km/j sementara tahap purata penggunaan petrol sekitar 8.1 liter per 100 km.

Dibekalkan bersama transmisi automatik enam kelajuan Powershift, model ini menjimatkan minyak.

Ia menyediakan beg udara dua peringkat, Sistem Impak Perlindungan Sisi (SIPS), WHIPS, ABD,EBD,EBA dan BLIS.

Ketelitian kejuruteraan Scandinavia menjadikan S40 bukan sahaja berteknologi tinggi, tetapi eksklusif dan mewah.

Jika mampu, harga RM169,950 (tanpa insuran) tidak terlalu mahal berbanding teknologi dan kehebatannya.

SPESIFIKASI

VOLVO S40 2.0L

ENJIN: Empat silinder 1,999cc

KUASA MAKSIMUM: 145hp pada 6,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 185Nm pada 4,500 rpm

TRANSMISI: Automatik enam kelajuan dengan Powershift

CIRI KESELAMATAN: Beg udara dua peringkat, (SIPS), WHIPS, ABD,EBD,EBA dan BLIS.

HARGA: RM169,950 (tanpa insuran)

Tayar dicadangkan: SportContact-1 205/55 R16 91V


Tuesday, October 27, 2009

MPV Mercedes R280



KENDERAAN pelbagai guna (MPV) memang sesuai dijadikan 'jentera pengembaraan' berikutan faktor keluasan dan keselesaan sepanjang menempuh perjalanan jauh.

Namun, mencari MPV menyamai sebuah jentera mewah agak sukar jika ia bukan daripada jenama kenderaan bertaraf dunia.

Pengeluar kenderaan gergasi Jerman, Mercedes melihat jentera MPV boleh disatukan melalui produk terbarunya.
Peluang memandu uji MPV Mercedes R280 membuktikan suntikan kemewahan tetap sama pada semua model keluaran syarikat bintang bucu tiga itu.

Pertama kali melihat susuk tubuh R280, tergambar keluasan dalamannya dan sebaik pintu dibuka, jelas jentera besar ini menawarkan keselesaan paling tinggi dalam kelasnya.

Sudut luaran bersama alunan lentur angin setiap sisi menjadikannya lebih aerodinamik walaupun bersaiz mega.

Gril hadapan yang dihiasi logo bintang bucu tiga besar mencerminkan bahawa jentera berkenaan tetap mengutamakan kemewahan.

Lampu projektor teknologi HID manakala sistem LED di dalam perumah lampu belakang membantu penglihatan lebih jelas pada waktu malam.

Padanan ekzos berkembar menjadikannya lebih sporty dan garang dan hiasan bumbung suria tampak lebih bergaya.

Semua tujuh kerusi termasuk dua kerusi penumpang barisan ketiga disaluti kulit mewah berwarna hitam manakala papan pemuka lebih kepada sedan versi E Class atau ML 350.

Skrin digital untuk sistem Command APS mendominasi papan pemuka tengah.

Sistem audio boleh bertukar kepada telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi Bluetooth.

Pemandu hanya perlu menekan butang di stereng untuk menjawab panggilan.

Teknologi Comand APS dan Linguatronic membolehkan sistem audio, navigasi, telefon dan pemain cakera padat dikawal menggunakan suara.

Sistem ini adalah standard bagi semua model kenderaan mewah Jerman ini.

MPV mewah ini mendapat suntikan nadi enam silinder (V6) 3.0 L tujuh kelajuan (7G-Tronik) menawarkan kuasa kuda sehingga 231hp manakala tork mencecah 300Nm pada 2,500 rpm hingga 5,000 rpm.

Walaupun memiliki tubuh yang besar dan sasa, R280 hanya mengambil masa 9.6 saat untuk memecut dari kedudukan pegun hingga ke kelajuan 100km/j.

Malah, tahap penggunaan bahan api juga boleh dianggap berbaloi apabila purata mencatatkan sebanyak 10.9L bagi 100 km.

Ini kerana R280 sepanjang 5,157 mm dan seberat 2,810 kilogram manakala tangki petrolnya sebesar 80 liter.

Bagi penulis yang pertama kali memandunya, pasti faktor saiz menjadi isu, tetapi selepas beberapa jam memandunya, R280 mudah dikendalikan termasuk bantuan sensor hadapan dan belakang ketika mahu meletak kenderaan di parkir.

R280 memang tidak mengecewakan terutama ketika memecut di lebuh raya.

Bantuan sistem suspensi udara Airmatic dengan Adaptive Damping System (ADS) banyak membantu menstabilkan kenderaan.

R280 dibekalkan denga ndua mod pemanduan iaitu Comfort untuk keselesaan semua penumpang manakala mod Sport bagi pemanduan lebih keras.

Seperti kenderaan Mercedes-Benz yang lain, R280 tidak ketinggalan dilengkapi kemampuan dan kawalan elektronik yang menjadi teras pembuat kenderaan Jerman ini.

Antaranya ialah Thermotronik yang membantu pemandu melaraskan suhu dalam kabin manakala sistem perlindungan Pre-Safe dengan beg udara hadapan dan sisi menjamin keselamatan setiap penumpangnya.

Berharga 458,888 seunit, Mercedes R280 menjadi satu-satunya MPV kelas mewah tanpa kompromi walaupun ketika berada di kerusi penumpang paling belakang.

SPESIFIKASI

Mercedes-Benz R280

Enjin: V6 2,996cc 24 injap

Kuasa maksimum: 231hp pada 6000 rpm

Tork maksimum: 300 pada 2500-5000 rpm

Transmisi: 7G-Tronik

Ciri keselamatan: ADS, ABS, beg udara

Harga: RM458,888.00

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 255/55R18 105W

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Vroom/20091027103016/Article/indexv_html

http://www.autocar.co.uk/CarReviews/FirstDrives/Mercedes-Benz-R-Class-R280-CDI/229301/

Friday, October 9, 2009

Tenaga dinamik BMW


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my
Model BMW X3 xDrive20d Executive Edition misalnya dipasang dengan enjin diesel terkini. Enjin empat silinder dengan blok aluminium sepenuhnya itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 130kW dan 20 kilogram lebih ringan.

Akhirnya, teknologi yang menjadi dambaan peminat automotif dunia kini tiba di pasaran tempatan. Dibawakan oleh pihak BMW Malaysia, teknologi termaju enjin diesel yang dikenali sebagai Efficient Dynamics itu pasti membuka satu lembaran baru dalam usaha penggunaan bahan api lebih cekap di Malaysia.

Penerimaan pengguna terhadap teknologi itu terbukti menerusi angka jualannya di seluruh dunia. Pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 700,000 unit kenderaan yang dilengkapi teknologi Efficient Dynamics berjaya dijual di Eropah.

Menjelang akhir tahun ini, dijangka sebanyak satu juta kenderaan BMW berteknologi itu akan berada di atas jalan raya. Populariti jentera keluaran BMW itu banyak disokong oleh lebih 30 anugerah yang diperolehnya dalam tempoh 10 tahun berikutan kecekapan penggunaan bahan api dan prestasi yang ditawarkannya. Tidak hairan juga jika enjinnya dinobatkan sebagai International Engine of the Year Awards.

Pihak Berkuasa Pengangkutann Motor Persekutuan Jerman mengiktiraf BMW sebagai jenama premium paling menjimatkan pada awal tahun ini.

Apa sebenarnya teknologi Efficient Dynamics? Ia terdiri daripada teknologi High Precision Injection (HPI), BMW Advanced Diesel Engine, Electric Power Steering, Brake Energy Regeneration, reka bentuk aerodinamik dan penggunaan material binaan yang ringan.

HPI yang menjadi teknologi utama dalam Efficient Dynamics dilengkapi dengan rangkaian penyuntik Piezo. Ia diletakkan di antara injap-injap bagi membolehkan proses pembakaran bahan api yang sempurna dan bercekapan tinggi.

Sementara teknologi Brake Energy Regeneration pula membolehkan bateri dicaj menggunakan tenaga kinetik apabila pemandu mengangkat kaki daripada pedal minyak dan menekan brek. Tenaga elektrik daripada bateri itu akan digunakan untuk operasi seluruh peralatan elektrikal dalam kenderaan tersebut.

Reka bentuk aerodinamik yang optimum digabungkan dengan inovasi pengurangan beban melalui penggunaan material ringan seperti aluminium dan magnesium. Hasilnya, ia bukan sahaja meningkatkan tahap penghantaran kuasa, malah menjadikan jentera berasa lebih tangkas.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoff Briscoe menyifatkan pengenalan model BMW berenjin diesel dilihat tepat pada masanya. Ia berikutan perubahan kesedaran pengguna Malaysia terhadap alam sekitar, selain inisiatif kerajaan memperkenalkan diesel gred Euro 2.

"Kami memberi fokus istimewa terhadap teknologi diesel di sini. Wujud banyak salah faham bahawa minyak diesel tidak bersih, mahal dan bising. Sedangkan enjin diesel menawarkan 20 peratus lebih kuasa kuda, 75 peratus lebih tork, 30 peratus pengurangan penggunaan bahan api dan 20 peratus kurang mengeluarkan gas karbon monoksida (CO2).

"Pengguna juga boleh berjimat kerana harga diesel 10 sen lebih murah berbanding petrol. Perkiraannya begini, jika memandu tujuh hari seminggu, dua hari daripadanya anda seakan-akan memandu menggunakan diesel secara percuma," kata Briscoe dalam ucapan alu-aluannya.

Perlu diingatkan bahawa teknologi ini tidak terhad kepada model-model tertentu sahaja. Justeru, BMW Malaysia menawarkan empat model diesel terbaru seperti BMW 320d Sports, BMW 520d Sports Edition, BMW X3 xDrive20d Executive Edition dan BMW 730Ld. Lebih menarik lagi, model paling laris iaitu BMW 320i Sports hanya kurang RM7,000 berbanding BMW 320d Sports. Satu tawaran yang nyata sukar untuk diketepikan.

Enjin diesel binaan BMW juga memberikan model BMW 320d tork maksimum sehingga 350Nm, terbaik dalam kelasnya. Ini membolehkannya mencecah kelajuan 100 km/j dalam hanya 8.4 saat.

BMW juga mendakwa dengan satu tangki penuh, enjin itu membolehkan anda boleh pergi sejauh 1,000 kilometer!

Menjawab skeptikal pengguna Malaysia terhadap kualiti diesel yang ada di stesen minyak seluruh negara, Pengurus Pembangunan Produk BMW Malaysia, Daren Ching menegaskan bahawa model-model diesel BMW itu tidak berdepan sebarang masalah dengan realiti diesel tempatan yang bersulfur tinggi.

"Kami cuma mengalihkan diesel particle filter (penapis partikel diesel) daripada model-model yang dipasarkan di Malaysia. Pengguna tidak perlu bimbang tentang prestasinya," kata Daren.

Ditanya mengenai penerimaan orang ramai terhadap produk terbaru itu, Briscoe yakin permintaan akan meningkat menerusi promosi dari mulut ke mulut.

Bermula 3 Oktober, kesemua empat model BMW EfficientDynamics itu boleh dilihat secara dekat di 14 buah bilik pameran BMW di seluruh negara.

Harga jualan bagi model-model ini tidak termasuk insuran, tetapi ia hadir bersama BMW servis yang meliputi jaminan selama tiga tahun atau 60,000 km perbatuan dan penyelenggaraan.

*BMW 320d Sports: RM255,800

*BMW 520d Sports Edition: RM379,800

*BMW X3 xDrive20d Executive Edition: RM333,800

*BMW 730Ld: RM698,800