Wednesday, September 30, 2009

Badang mewah





KENDERAAN sport utiliti (SUV) memang menjadi pilihan mereka yang gemarkan aktiviti riadah, lasak tetapi selesa.

Baru-baru ini, Mercedes-Benz (M) Sdn Bhd memperkenalkan model SUV mewah, ML350 versi 2009 yang lasak di belantara dan mewah di dalamnya.


Peluang memandu uji model SUV ini membuatkan penulis terfikir adakah pembeli sanggup melanyak jentera berharga lebih setengah juta ringgit ini mengharungi lumpur?

Sudut luaran ML350 bertubuh sasa dan alunan lentur angin setiap sisi menjadikannya tampak maskulin.

Melihat gril hadapan yang dihiasi logo bintang bucu tiga besar mencerminkan bahawa jentera berkenaan masih mengutamakan kemewahan.

Lampu projektor teknologi HID manakala sistem LED di dalam perumah lampu belakang membantu penglihatan lebih jelas pada waktu malam.

Padanan ekzos berkembar menjadikannya lebih sporty dan garang dan hiasan bumbung suria tampak lebih bergaya.

ML350 dibekalkan nadi enam silinder silinder 18 injap bersesaran 3,498cc digabungkan dengan transmisi pacuan empat roda tujuh kelajuan (7G-Tronic).

SUV mewah ini mampu menawarkan kuasa maksimum 272hp selain tork sekuat 350Nm pada 2,400 hingga 5,000 rpm.

Paling menarik ML350 ini dibekalkan dengan sistem suspensi Airmatic kawalan empat roda menggunakan udara yang mengawal olengan badan seberat 2.8 tan ini.

Airmatic mempunyai tiga mod berbeza yang mampu merendah atau meninggikan jentera ini.

Sebagai contoh, apabila pemandu ingin meredah semak atau belukar, tinggikan SUV ini untuk ruang lega bumi yang lebih, tetapi sekiranya mahu memecut laju di lebuh raya, sistem ini akan merendahkan badan secara automatik.

Malah, sistem DSR (Downhill Speed Regulation) dan sistem ESP (Electronic Stability Program) untuk pacuan empat roda membolehkan SUV mewah ini melaksanakan tugasnya dengan cemerlang di laluan berbukit atau licin.

DSR menetapkan kelajuan sesuai ketika menuruni cerun yang curam sementara ESP membantu pemandu daripada hilang kawalan apabila tayar tergelincir.

Bantuan tayar dengan rim aloi 19 inci dilengkapi dengan alat pengesan tekanan udara membolehkan ML350 dikawal lebih mudah.

Menerjah ke ruang kabin jelas menunjukkan ia bukanlah SUV sembarangan.

Imej mewah terserlah di segenap sudut termasuk balutan kulit lembut selain kemasan aluminium dan krom digunakan bagi membangkitkan imej maskulin.

Skrin digital untuk sistem Command APS mendominasi papan pemuka tengah.

Sistem audio boleh bertukar kepada telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi Bluetooth.

Pemandu hanya perlu menekan butang di stereng untuk menjawab panggilan.

Teknologi Comand APS dan Linguatronic membolehkan sistem audio, navigasi, telefon dan pemain cakera padat dikawal menggunakan suara.

Sistem ini adalah standard bagi semua model kenderaan mewah Jerman ini.

Penulis tidak sempat mengujinya di kawasan 'off-road', tetapi pegawai media Mercedes-Benz mengakui ML350 mampu menyusuri cerun dan lopak dalam pada ekspedisi tempoh hari.

Bagi unit pandu uji ini, penumpang belakang boleh menikmati hiburan cakera padat video digital (DVD) bersama 'headphone' tanpa wayar yang terletak di belakang kedua-dua kerusi pemandu hadapan.

Pada kelajuan tinggi melebihi 200 km/j, ML350 langsung tidak beroleng, malah tetap stabil dan kukuh umpama sebuah sedan biasa.

Masalah bunyi antara tayar dan angin yang sering menghantui kebanyakan SUV kerana ketinggiannya tidak berlaku. Selekoh yang diambil secara laju mudah ditawan, tiada goyangan ekor atau daripada hadapan.

Malah, ketika mengujinya dengan membrek keras ketika mengambil selekoh, sistem ESP menendang masuk dan mengawal kenderaan supaya tidak membuang.

Jelas, Mercedes sentiasa mengutamakan kualiti yang mengagumkan. Cukup selamat, cukup meyakinkan.

Jelas Mercedes-Benz berjaya menghasilkan kenderaan yang benar-benar mampu menerokai hutan belantara, tetapi pada masa sama masih disaluti kemewahan sejati.

Berharga RM548,888 seunit, model pandu uji Mercedes-Benz ML350 kali ini adalah versi Sports Package yang dipertingkatkan, tetapi memiliki harga sama seperti model terdahulu.

SPESIFIKASI

Mercedes-Benz ML350

Enjin: Enam silinder 18 injap 3,498cc

Kuasa maksimum: 272hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 350Nm pada 2,400 - 5,000rpm

Transmisi: AWD tujuh kelajuan 7G-Tronic

Ciri keselamatan: ABS, BAS, EBD, ESP, DSR, Arcade, beg udara

Harga: RM548,888.00

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 255/50R19 103W

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

No comments:

Post a Comment