Monday, February 21, 2011

Hyundai SONATA Terima anugerah 5 bintang

BERGAYA...bentuk lampu belakang

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

HYUNDAI Motor Company yang ditubuhkan pada 1967, kini semakin agresif memasarkan produk mereka.

Jelmaan rekaan yang semakin menarik dan unik sepanjang tahun, meningkatkan lagi kualiti barisan produknya sekali gus memberi perubahan positif kepada syarikat itu.


Kereta keluaran Korea itu kian bermutu dan mendapat tempat di hati masyarakat negara ini.

Di negara ini, Hyundai diimport sepenuhnya oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM).


Penulis berpeluang memandu uji produk daripada Korea itu, Hyundai Sonata YF yang memiliki reka bentuk unik, aerodinamik dan sporty, baru-baru ini.


Generasi terbaru Sonata ini direka menggunakan konsep aliran bunga orkid disifatkan memiliki gabungan antara elemen semula jadi, cair dengan permukaan dan struktur bagi mewujudkan gambaran seolah-olah ia masih bergerak.

Ia jelas terpampang pada bentuk luaran Sonata yang memiliki gaya reka bentuk menarik membuatkan penulis jatuh hati dengannya ketika kali pertama bertentang mata.

Dari luar, penulis kagum dengan reka bentuknya termasuk lampu utama dan jeriji hadapan yang kelihatan seperti bilah pedang yang menonjolkan imejnya yang anggun.


Reka bentuk bonet seperti berombak dan memiliki fungsi keselamatan bagi mengurangkan kecederaan kepada pejalan kaki ketika melantun ke atasnya apabila kemalangan.

Jika dilihat pada pandangan sisi tepi, lekuk yang terbentuk memberi gaya berbeza untuk mengurangkan rintangan angin.


Ketika memandu uji jentera ini, rakan penulis membisikkan Sonata itu mirip Mercedes-Benz CLS dilihat di sisinya.


Jika mahu menikmati udara malam sambil membilang bintang di langit, kenderaan ini mempunyai bukaan dua bumbung panorama yang luas.


Di bahagian dalamannya, tempat duduk penumpang dan pemandu memberi kelegaan kerana ruang luas dan kerusi berbalut kulit yang empuk.


Penampilan bahagian dalamannya turut tidak ketinggalan apabila bahan yang menutupi papan pemuka kelihatan berkualiti dan mewah.

Papan pemuka dan konsol tengah kelihatan serasi dengan butang penyaman udara dan audio yang tersusun dengan lebih teratur serta mudah ditekan.


Selain ruang yang besar, Sonata YF ini dipadankan corong penyaman udara untuk penumpang belakang menjadikan ia kereta segmen D paling mewah dalam kelas harganya.

Sonata YF 2.0 liter ini memberi sesuatu pengalaman hebat apabila enjin ia dipadankan dengan sesaran 1,998cc yang menghambur kuasa maksimum 165 ps pada 6,200 rpm.


Enjin ini mematuhi tahap pelepasan asap Euro IV menggunakan sistem DOHC dengan 16 injap dan dibina dengan aloi aluminium keseluruhannya.

Namun, suspensinya yang lembut membuatkan jentera ini membuai ketika meratah selekoh di kelajuan tinggi.


Generasi keenam Sonata ini turut dianugerahkan lima bintang dalam ujian kemalangan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA).




SPESIFIKASI

HYUNDAI SONATA YF 2.0

ENJIN: 1,998 dengan empat silinder satu barisan

KUASA MAKSIMUM: 165 ps pada 6,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 198 Nm pada 4,600rpm

TRANSMISI: Automatik enam kelajuan

CIRI-CIRI KESELAMATAN: Beg udara dan Program Stabiliti Elektronik (ESP), ABS dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD)

HARGA: RM143,888 atas jalan tanpa insurans

TAYAR YANG DICADANGKAN:
CONTINENTAL
Corak: ContiPremiumContact 2, 215/55 R17 94W


source : HMETRO

Honda bakal bawa versi baru hibrid ke pasaran

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/21

HONDA CR-Z Hibrid Sport miliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi.
HONDA CR-Z Hibrid Sport miliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi.
CR-Z Hybrid Sport 1.5 liter i-VTEC dijual pada harga RM120,000

HONDA Malaysia Sdn Bhd dijangka membawa masuk satu lagi versi baru kereta hibrid, iaitu Honda CR-Z Hybrid Sport ke pasaran tempatan sekitar suku kedua tahun ini.
Sumber industri berkata, model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC itu, akan dijual pada harga sekitar RM118,000 hingga RM120,000 seunit.
“Pengenalan model hibrid itu sejajar dengan komitmen Honda untuk terus merangsang pasaran automotif tempatan dengan pengenalan beberapa barisan model baru dan model dipertingkatkan tahun ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kali terakhir Honda Malaysia melancarkan model barunya pada Disember lalu dengan menampilkan versi Honda Insight hibrid dan difahamkan model itu kini sudah meraih tempahan lebih daripada 1,300 unit.

Selain Insight hibrid yang menggunakan enjin 1.3 liter SOHC i-VTEC dan dijual pada harga atas jalan RM98,000 seunit, Honda Malaysia turut memasarkan Civic Hibrid pada harga RM108,980 di Semenanjung dan RM109,980 di Sabah dan Sarawak.

Sumber itu berkata, pengenalan Honda CR-Z Hybrid Sport Honda itu juga adalah hasil manfaat daripada langkah kerajaan melanjutkan insentif cukai menerusi pengecualian penuh cukai import dan eksais untuk kereta hibrid dalam pengumuman Bajet 2011.
Ia, katanya, sekali gus menjadikan kenderaan hibrid yang dipasarkan di Malaysia kini lebih mampu dimiliki.

Menerusi pelepasan cukai, jelas sumber, bagi kenderaan hibrid berkuasa 2,000 cc ke bawah, peserta industri seperti Honda akan mendapat lebih banyak pilihan untuk mempertingkatkan lagi rangkaian kenderaan hibrid di Malaysia.

Honda CR-Z hibrid yang digayakan dengan tempat duduk 2+2 coupe serta memiliki ciri yang sama seperti Volkswagen Scirocco, adalah kereta hibrid pertama Honda yang memiliki manual enam-kelajuan.

Model yang dianugerahkan sebagai Kereta Terbaik Jepun 2010, memiliki ruang dalaman moden dan berteknologi tinggi sambil papan pemukanya yang memiliki pelbagai paparan maklumat, ditampilkan dengan pencahayaan lampu biru.

Gabungan tenaga model itu mampu menjana sehingga 122 brek kuasa kuda (bhp) pada 6,000 rpm dan tork maksimum sehingga 174Nm.

Sumber itu berkata, dengan pengenalan versi hibrid baru itu dan ditambahkan lagi dengan beberapa lagi model baru lain, Honda Malaysia dijangka berupaya meraih jumlah jualan keseluruhan sebanyak 48,000 unit pada tahun ini berbanding 44,486 unit tahun lalu.

Tahun lalu, model terlarisnya, City, kekal sebagai penjana utama pertumbuhannya dengan mencatatkan jualan 19,946 unit (45 peratus daripada keseluruhan jualan), diikuti model Civic dan Accord yang masing-masing menyumbang sebanyak 20 peratus dan 16 peratus jualan, manakala model CR-V edisi baru menyumbangkan sebanyak 12 peratus.

Bakinya disumbangkan oleh model CBU seperti Jazz, Stream, Freed, Odyssey, Civic Hybrid dan Type R, dan Accord V6.

source : BHARIAN